Khairuddin dedah menteri luluskan peruntukan RM55 juta tambah baik JRTB

SHAH ALAM - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM55 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan termasuk pemasangan lampu jalan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli bermula Julai hingga Oktober tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi satu kiriman WhatsApp yang dihantar Alexander kepadanya baru-baru ini.
"Saya telah berhubung dengan Nanta berkaitan cadangan menaik taraf JRTB sebagaimana tulisan saya sebelum ini. Beliau sangat bersetuju dan katanya sebab itulah sebaik dilantik menjadi menteri, pihaknya meluluskan RM30 juta untuk kerja-kerja pembaikan serta menaik taraf jalan.
"Katanya hingga hari ini lebih RM60 juta dibelanjakan untuk jalan tersebut dan tahun ini pula, peruntukan tambahan RM55 juta diberikan bagi kerja-kerja naik taraf termasuk pemasangan lampu jalan bermula Julai hingga Oktober depan.
Terima kasih di atas usaha yang dijalankan demi kebaikan rakyat Pantai Timur dan Utara Semenanjung," katanya di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di laluan JRTB, Gerik-Jeli termasuk di kawasan lokasi nahas bas persiaran yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, keputusan pemberian tender bagi pemasangan lampu tersebut dijangka diketahui pada Julai tahun ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, insiden berlaku pada awal pagi Isnin lalu bukan berpunca daripada keadaan jalan raya yang gelap, sebaliknya kelajuan kenderaan itu sendiri sepertimana dilaporkan pihak polis.
Menerusi peruntukan tambahan RM55 juta itu, difahamkan RM3.5 juta digunakan untuk kerja-kerja pemasangan lampu jalan, perabot jalan (RM14.5 juta), pavemen (RM36 juta) dan Kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA) sebanyak RM1 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!