Dihukum 200 kali 'squat', buah pinggang pelajar rosak

Air kencing mangsa bertukar warna hitam selepas dihukum lakukan 'squat'. - Agensi
Air kencing mangsa bertukar warna hitam selepas dihukum lakukan 'squat'. - Agensi
A
A
A

BANGKOK – Seorang pelajar di Thailand dilaporkan mengalami kegagalan buah pinggang selepas didakwa dipaksa melakukan 200 kali ketuk ketampi atau 'squat' secara berterusan sebagai hukuman lewat menghantar kerja rumah oleh gurunya.

Menurut hantaran Facebook tular pada Khamis, pelajar tersebut mengalami kesakitan pada kaki selama tiga hingga empat hari sebelum mula membuang air kecil berwarna gelap seperti minuman Coca-Cola.

Dia kemudian dibawa ke hospital dan disahkan menghidap rhabdomyolysis iaitu satu keadaan di mana tisu otot rosak akibat tekanan atau kecederaan ekstrem.

Toksin yang dilepaskan oleh otot boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang akut jika tidak dirawat segera.

Dalam kes ini, kerosakan pada buah pinggang dilaporkan tidak terlalu serius.

Bagaimanapun, pelajar itu masih berada di bawah pemantauan rapi dan doktor sedang menilai sama ada rawatan dialisis diperlukan.

Portal berita tempatan, Daily News, melaporkan bahawa guru terbabit telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Insiden itu mencetuskan kemarahan netizen yang menganggap hukuman fizikal sebegitu sebagai tidak berperikemanusiaan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!