Lapan Pusat Hemodialisis Felda dijangka mula operasi Julai

DUNGUN – Sebanyak lapan daripada 12 Pusat Hemodialisis Felda (PHF) yang dibina di seluruh wilayah Felda dijangka mula beroperasi seawal Julai ini bagi memberi kemudahan rawatan kepada pesakit buah pinggang kronik.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kesemua 12 PHF yang dirancang pembinaannya dijangka siap tahun ini, termasuk satu tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 13 buah.
“Pusat hemodialisis ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memberi manfaat kepada warga Felda dan penduduk sekitar yang mengalami masalah buah pinggang kronik.
“Kita tahu keperluan terhadap rawatan ini semakin meningkat, jadi kewujudan PHF di kawasan Felda akan memberi keselesaan kepada penduduk tanpa perlu ke hospital yang mungkin jauh atau berkapasiti terhad,” katanya selepas Majlis Pra-Pelaksanaan Pusat Hemodialisis di Felda Kerteh 5, di sini pada Sabtu.
Ahmad Shabery berkata, setiap PHF akan dilengkapi sekurang-kurangnya enam mesin dialisis yang mampu menampung sehingga 36 pesakit secara berjadual dalam satu-satu masa.
“Di Felda Kerteh 5, misalnya, pusat ini dilengkapi bilik rawatan serta enam mesin dialisis, dan dibina dengan kos kira-kira RM500,000. Ia dijangka mula beroperasi bulan depan,” katanya.
Mengulas mengenai kos rawatan, beliau memaklumkan ia akan dikenakan pada kadar minimum, manakala Yayasan Felda akan membantu mendapatkan pembiayaan bagi pesakit yang kurang berkemampuan.
“Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang. Apa yang penting, kita bina dahulu pusat ini untuk kemudahan warga peneroka.
“Bagi yang tidak mampu, kita akan bantu cari jalan supaya mereka tetap mendapat rawatan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!