Yusoff Rawther ada hak saman kerajaan, polis - Nie Ching

Nie Ching (kiri), Yusoff Rawther
Nie Ching (kiri), Yusoff Rawther
A
A
A

JOHOR BAHRU – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther yang baru-baru ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan mengedar dadah serta memiliki dua pistol tiruan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan polis.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebagai rakyat Malaysia beliau berhak untuk menuntut keadilan sekiranya merasakan dirinya ditahan tanpa alasan munasabah.

“Di bawah undang-undang, sekiranya seseorang itu merasakan penahanannya tidak wajar, tindakan undang-undang boleh diambil, seperti dalam kes Fahmi Reza.

“Jika ulasan atau tindakan polis tidak betul dan tidak memuaskan, inilah hak seorang rakyat Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di pusat beli-belah Mid Valley Southkey, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Kulai itu menegaskan tindakan menyaman pihak berkuasa adalah satu saluran yang sah dalam sistem demokrasi bagi memastikan proses semak dan imbang kuasa dapat dilaksanakan.

“Saya percaya rakyat mempunyai ruang untuk melaksanakan ‘check and balance’ terhadap kuasa yang dimiliki oleh pihak polis,” ujarnya lagi.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff, 32, daripada dua pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan tanpa dipanggil membela diri.

Artikel Berkaitan:

Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Muhammed Yusoff sebelum ini konsisten menafikan pembabitannya dalam sebarang aktiviti haram serta mendakwa dirinya diperangkap dan menjadi mangsa penganiayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!