Suhakam perlu kekal sebagai institusi berwibawa perjuang hak golongan rentan - PM

Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi Suhakam di Putrajaya. pada Isnin. Foto Pejabat Perdana Menteri
Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi Suhakam di Putrajaya. pada Isnin. Foto Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kekal sebagai institusi yang berwibawa dan progresif dalam memperjuangkan hak golongan rentan.

Beliau juga mahu Suhakam supaya terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan agenda hak asasi yang seiring dengan harapan dan cita-cita negara.

Anwar berkata demikian bagi merumuskan sesi pertemuan dan perbincangan bersama Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di Putrajaya pada Isnin.

"Menerima kunjungan hormat Pengerusi Suhakam (Mohd Hishamudin) lantas membincangkan pelbagai isu penting berkaitan hak asasi manusia yang memberi kesan langsung kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Perbincangan meliputi pencapaian Suhakam serta cabaran semasa yang semakin kompleks, termasuk perubahan teknologi dan sosial yang menuntut pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu,” kata beliau menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Anwar berkata, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi menimbulkan dimensi baharu dalam menjamin dan melindungi hak asasi manusia.

Justeru, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada hak asasi kanak-kanak yang semakin terdedah kepada risiko baharu, katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!