Bendung segera penipuan pakej haji

LAGI kisah memilukan membabitkan jemaah haji yang menjadi mangsa penipuan.
Dalam kejadian terbaru, sekumpulan 63 jemaah dari utara tanah air mendakwa ditipu oleh pakej palsu kononnya lengkap dengan visa dan kemudahan pengurusan.
Mereka akhirnya pulang ke tanah air bukan dengan pengalaman ibadah, tetapi dengan kekecewaan, trauma dan beban kewangan yang tidak dijangka.
Lebih mendukacitakan, penipuan ini berselindung di sebalik kata-kata agama.
Ayat suci dan istilah seperti ‘ujian ALLAH’ digunakan bagi menenangkan mangsa, seolah-olah penderitaan yang dialami adalah ketentuan Ilahi semata-mata, bukannya angkara manusia yang tidak bertanggungjawab.
Tindakan memperalatkan agama demi mengaburi penipuan adalah satu pengkhianatan terhadap nilai Islam itu sendiri.
Fenomena ini bukan perkara baharu. Saban tahun, menjelang musim haji, kisah penipuan seumpama ini terus berulang.
Sampai bila mahu membiarkan lebih ramai jemaah menjadi mangsa penipuan dan terpaksa tidur di lapangan terbang, menjual barang kemas, atau menggadai tanah semata-mata mahu ke Tanah Suci?
Tiba masanya hukuman berat dijatuhkan kepada individu atau agensi yang bersalah.
Tidak boleh ada lagi ruang simpati atau kompromi terhadap penjenayah yang mempergunakan nama ibadah untuk keuntungan peribadi.
Ketelusan dan ketegasan mesti berjalan seiring bagi memastikan ibadah ke Tanah Suci tidak lagi menjadi umpan penipuan.
Penipuan pakej haji ini bukan sekadar jenayah komersial, tetapi jenayah terhadap jiwa, kepercayaan dan maruah umat Islam.
Pihak berkuasa agama, Kementerian Pelancongan dan agensi penguat kuasa mesti memperketat kawalan, menyaring semua tawaran pakej dan hanya meluluskan agensi yang benar-benar berlesen dan telus.
Tindakan tegas mesti diambil sekarang. Hentikan sikap bertangguh.
Lindungi mereka yang jujur ingin beribadah daripada terus menjadi mangsa penipuan yang memalukan dan mencemarkan kesucian agama.
Jangan tunggu lagi mangsa seterusnya muncul dengan kisah lebih tragik.
Jangan biar ibadah suci menjadi ruang manipulasi buat golongan tamak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!