Malaysia naik 11 anak tangga WCR 2025 bukti reformasi Kerajaan Madani berhasil - PM

SHAH ALAM – Pencapaian membanggakan Malaysia dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (World Competitiveness Ranking, WCR) 2025 memberi petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan Madani sedang membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mampu melonjak lebih jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan serta kerjasama erat sektor swasta.
Menurut beliau, prestasi memberangsangkan dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.
"Alhamdulillah, Malaysia mencatat lonjakan membanggakan dalam WCR 2025 apabila naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi, berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
"Ini pencapaian terbaik sejak lima tahun lalu dan merupakan petunjuk jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan Madani sedang membuahkan hasil.
"Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan lebih cerah buat anak-anak kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan bahawa kedudukan tahun ini merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.
Tambah beliau, ia mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia serta usaha pembaharuan berterusan yang mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033.
Ujar beliau lagi, pendekatan Kerajaan Madani berteraskan prinsip ‘whole-of-government’ membuktikan kesungguhan dalam memacu penambahbaikan dan pembaharuan struktur secara menyeluruh.
Tahun lalu, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.
Malaysia sebelum itu jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 pada tahun sebelumnya, menurut laporan WCR yang dikeluarkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!