Trump ancam bunuh Khamenei, tuntut Iran menyerah

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa Iran menyerah tanpa syarat serta memberi amaran bahawa Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei merupakan sasaran mudah untuk dibunuh, ketika konflik bersenjata antara Iran dan sekutu AS, Israel, memasuki hari kelima.
Kenyataan Trump mencetuskan persoalan sama ada Washington akan terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan Israel, meskipun pentadbirannya sebelum ini menafikan sebarang pembabitan.
Israel pada Rabu melancarkan dua gelombang serangan udara ke atas sasaran peluru berpandu dan dron di barat Iran.
Tentera rejim Zionis turut mengesahkan pembunuhan Komander Kanan Iran, Jeneral Ali Shadmani dalam serangan ke atas pusat komando di tengah bandar Tehran, hanya empat hari selepas pendahulunya, Gholam Ali Rashid, terbunuh dalam serangan awal.
Serangan terbaru Israel mencetuskan tindak balas daripada Iran yang melancarkan peluru berpandu ke arah Tel Aviv dan Baitulmaqdis. Siren kecemasan dibunyikan di Dimona, lokasi loji nuklear Israel, namun tiada laporan kerosakan atau kematian setakat ini.
Menerusi platform Truth Social, Trump menulis: “Kami tahu di mana ‘pemimpin agung’ itu bersembunyi. Dia sasaran mudah, tetapi buat masa ini dia selamat. Kami tidak akan membunuhnya... sekurang-kurangnya belum lagi.”
Beliau turut memberi amaran kepada Teheran supaya tidak menyasarkan orang awam atau tentera Amerika.
“Kami tidak mahu peluru berpandu ke atas orang awam atau askar Amerika. Kesabaran kami semakin tipis,” katanya, sebelum menambah:
Trump pada Isnin mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara selama satu jam 20 minit, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Iran memberi amaran kepada penduduk Tel Aviv dan Haifa agar segera berpindah demi keselamatan nyawa mereka sambil memaklumkan bahawa ‘operasi pembalasan’ akan diteruskan. Pasukan Pengawal Revolusi Iran mendakwa telah melancarkan serangan ke atas beberapa pangkalan udara Israel.
Letupan turut dilaporkan berlaku di bandar Isfahan yang menempatkan kemudahan nuklear, selain beberapa siri ledakan di sekitar Tehran. Sebuah serangan siber dilaporkan melumpuhkan perkhidmatan Bank Sepah, salah satu institusi kewangan utama Iran, menurut agensi berita Fars.
Di Teheran, penduduk dilaporkan beratur panjang di stesen minyak dan kedai roti untuk mendapatkan bekalan makanan serta bahan api, manakala ramai mula meninggalkan ibu kota susulan panik berikutan kemungkinan serangan besar-besaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!