[VIDEO] 'Pulut, serawa durian juadah terakhir Jamal, isteri'

A
A
A

PEKAN – [DIKEMAS KINI]  “Dia makan pulut dan serawa durian bersungguh-sungguh petang itu... tak sangka itulah juadah terakhir kami makan bersama,” demikian luah Suriati Samat, 40, adik kepada Jamal Azizul Samat, 44, yang maut dalam kemalangan di Batu 8, Lepar, di sini, malam Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, isteri kepada Jamal Azizul, Lizawati Abdullah, 41, turut meninggal dunia, manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu bertembung dengan sebuah lori.

Jamal Azizul dan isterinya Lizawati Abdullah, meninggal dunia dalam kemalangan, manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu bertembung dengan sebuah lori.
Jamal Azizul dan isterinya Lizawati Abdullah, meninggal dunia dalam kemalangan, manakala tiga anak mereka cedera selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu bertembung dengan sebuah lori.

Menurut Suriati, arwah abangnya sudah lama berhajat untuk makan durian sejak Aidiladha lalu, namun tidak berkesempatan sehinggalah hari kejadian.

“Dia baru dapat gaji, terus beli durian RM300 dan minta saya masakkan pulut serta serawa durian sebab dia memang teringin sangat nak makan.

“Petang itu, dia makan dengan penuh selera... katanya puas hati. Isteri dia pun cakap sedap dan itu kali pertama rasa juadah itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Suriati menunjukkan gambar arwah abangnya bersama isteri dan empat anak ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pekan di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian.
Suriati menunjukkan gambar arwah abangnya bersama isteri dan empat anak ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pekan di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian.

Bercerita lanjut, Suriati berkata, arwah abangnya sepatutnya bermalam di rumahnya di Taman Sepakat, namun memilih untuk pulang kerana anak-anak perlu ke sekolah keesokan harinya.

“Kami pujuk supaya tidur sini saja, tapi dia kata anak sekolah esok. Lepas bersalaman, dia bertolak dalam jam 10 lebih malam.

“Tapi selepas itu, kami dikejutkan dengan panggilan video daripada anak sulung arwah yang gelap keadaannya dan hanya kedengaran tangisan,” katanya.

Anak keempat daripada lapan beradik itu turut memberitahu bahawa arwah merancang untuk mengadakan perjumpaan keluarga pada hujung bulan ini.

Malah, katanya, arwah bercadang untuk menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan pertemuan keluarga tersebut.

“Dia memang selalu jadi perancang kalau hendak berkumpul dan kali ini dia rancang nak bawa semua adik-beradik ke rumah rakit.

“Siap cakap hendak belanja makan, tapi tak sempat,” katanya dalam nada sebak.

Suriati turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat merakam gambar terakhir arwah abang dan kakak iparnya ketika mereka sedang menikmati hidangan durian bersama keluarga pada malam kejadian.

Menurutnya, kebiasaannya dia akan merakam gambar setiap kali adik-beradik berkumpul, namun malam itu dia tidak berbuat demikian.

“Tapi malam itu... entah kenapa, saya tak tangkap gambar. Bila fikir balik, rasa sangat terkilan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!