'Pertempuran sebenar bermula, Iran tidak akan tunjuk belas kasihan terhadap rejim Zionis' - Khamenei

Sistem pertahanan udara Israel diaktifkan untuk memintasi hujan misil menuju ke Tel Aviv pada awal pagi Rabu. - Foto AFP (Gambar kecil: Ayatollah Ali Khamenei)
Sistem pertahanan udara Israel diaktifkan untuk memintasi hujan misil menuju ke Tel Aviv pada awal pagi Rabu. - Foto AFP (Gambar kecil: Ayatollah Ali Khamenei)
A
A
A

TEHERAN – Iran melancarkan peluru berpandu hipersonik ke arah Israel selepas Operasi Janji Sejati III memasuki fasa yang lebih sengit dengan serangan berbalas misil berlarutan selama enam hari, awal pagi Rabu.

"Pertempuran sebenar kini bermula. Kita mesti bertindak lebih tegas terhadap rejim Zionis. Teheran tidak akan menunjukkan sebarang belas kasihan kepada musuh," kata Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei menerusi catatan di platform X, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi kata dua supaya 'menyerah tanpa syarat'.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan bahawa gelombang serangan ke-11 menggunakan misil Fattah-1, yang menggegarkan tempat perlindungan penduduk di hab komersial tengah Israel.

IRGC turut menegaskan bahawa pelancaran peluru berpandu itu membuktikan Iran kini menguasai ruang udara Israel, dan musuh tidak lagi berdaya menangkis serangan tepat mereka, setelah bedilan misil bertubi-tubi dilancarkan rejim Zionis sejak Jumaat lalu.

Meskipun Israel mengenakan penapisan media, beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan langit Tel Aviv dan Haifa diterangi hujan peluru berpandu canggih dari Teheran yang didakwa berjaya menembusi sistem pertahanan tiga lapis Israel.

Iran turut melancarkan kumpulan besar dron ke arah Israel, sementara rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman ke atas beberapa lokasi, termasuk sebuah universiti yang dikaitkan dengan IRGC. – Agensi

Info

-Fattah, yang dilancarkan pada Jun 2023, ialah misil dua peringkat berpandu tepat berasaskan bahan api pepejal, mempunyai jangkauan sehingga 1,400 kilometer dan kelajuan terminal Mach 13 hingga 15.

Artikel Berkaitan:

-Ia boleh bergerak ke semua arah dalam dan luar atmosfera bumi, sekali gus menjadikannya ‘kebal’ daripada dipintas sistem anti-peluru berpandu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!