DNeX peroleh kontrak Kementerian Kewangan bernilai RM103.76 juta

DAGANG NeXchange Berhad (DNeX) melalui anak syarikatnya, Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC) memperoleh kontrak Kementerian Kewangan bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan serta penambahbaikan aplikasi untuk Sistem Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Bersepadu Kerajaan Persekutuan (iGFMAS).
Kontrak bernilai RM103.76 juta dan merangkumi tempoh selama 60 bulan itu sekali gus mengukuhkan peranan kritikal DNeX dalam mengurus salah satu sistem kewangan kerajaan yang paling penting.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor, kontrak baharu itu membuktikan komitmen kumpulan kepada kerajaan sekali gus keyakinan berterusan Kementerian Kewangan terhadap kepakaran teknikal, rekod pencapaian cemerlang serta peranan strategik dalam transformasi digital negara.
“Ini akan membolehkan DNeX membina atas asas kukuh sedia ada dan memperhebat penglibatan dalam menyokong transformasi digital sektor awam Malaysia.
“Kami amat berbesar hati meneruskan kerja kami di iGFMAS, sebuah sistem yang penting kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, iGFMAS memainkan peranan utama memastikan pengurusan kewangan kerajaan persekutuan yang cekap, selamat dan telus.
Sistem ini membolehkan penyediaan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan berdasarkan perakaunan tunai diubah suai dan akruan.
Tambah Faizal Sham, selain membolehkan pihaknya membina atas asas kukuh yang sedia ada, ia turut berpeluang menambah baik platform iGFMAS agar sejajar dengan keperluan tadbir urus kewangan yang semakin berkembang.
“Kami seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih tangkas dalam menyesuaikan diri dengan teknologi digital demi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
“Kepercayaan berterusan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan ini merupakan satu bukti kukuh terhadap komitmen dan keupayaan kumpulan kami,” ujarnya.
Pada masa sama, penganugerahan kontrak ini mengukuhkan lagi kedudukan Kumpulan DNeX dan DNeX IT sebagai rakan teknologi dipercayai oleh kerajaan dengan rekod pencapaian dalam menyampaikan infrastruktur dan platform IT berskala kritikal.
Dengan tenaga kerja teknikal seramai 400 orang profesional, disokong oleh 16 pakar dalam teknologi baharu seperti Analitik Data Besar dan kecerdasan buatan (AI), DNeX IT berada dalam posisi strategik untuk memanfaatkan momentum ini ke arah pengembangan global.
Kumpulan ini turut merancang memperluaskan jejak ke peringkat antarabangsa dan meneroka bidang teknologi baharu yang sedang berkembang seperti SAP S/4HANA, AI, Keselamatan Siber dan aplikasi mudah alih.
Dalam pada itu, melalui segmen perniagaan DNeX IT yang merangkumi Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net), IAC, DNeX Solutions Sdn Bhd (DNeX Solutions) dan usaha sama Gamuda DNeX Cloud Sdn Bhd, Kumpulan DNeX menawarkan rangkaian penyelesaian digital terintegrasi yang menyokong pendigitalan dalam sektor awam dan swasta.
Kontrak baharu ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan pendapatan, malah turut memperkukuh kedudukan DNeX sebagai penyedia penyelesaian digital hujung ke hujung yang dipercayai dalam menyokong agenda transformasi digital sektor awam jangka panjang negara.
Antara penawaran DNeX IT termasuk:
1. B2G dan B2B
Pakar dalam menyediakan perkhidmatan elektronik untuk segmen Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G) dan Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), dengan kepakaran dalam pemudahcara perdagangan.
2. Perancangan Sumber Perusahaan (ERP)
Menyediakan alat ERP yang berkuasa dan inovatif terkini, termasuk penyelesaian daripada rakan strategik seperti SAP, yang direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepat pertumbuhan perniagaan.
3. Perkhidmatan Air-Gapped GDC
Menawarkan perkhidmatan Google Distributed Cloud (GDC) terasing udara, satu penyelesaian awan kedaulatan yang memenuhi keperluan kawal selia tertinggi, dengan akses kepada kecerdasan buatan (AI) terkemuka Google Cloud dalam persekitaran selamat dan terpencil sepenuhnya.
4. Pengurusan Projek IT dan Perundingan Infrastruktur
Menawarkan pengurusan rantaian bekalan yang menyeluruh, merangkumi daripada perolehan dan penghantaran hingga ke pemasangan, ujian dan pentauliahan perkakasan serta penyelesaian IT, memastikan integrasi yang lancar dan pelaksanaan yang sempurna setiap masa.
5. Teknologi Didorong AI
Pelanggan boleh memanfaatkan potensi AI untuk meningkatkan kecekapan operasi, memperbaiki proses membuat keputusan, dan menambah baik aliran kerja dengan penyelesaian AI yang canggih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!