Gempar buaya 'muncul' di tasik Taman Sutera Wangi

MELAKA – Orang ramai terutama kaki pancing di tasik kawasan Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, gempar mengenai dakwaan kehadiran buaya di kolam itu sejak minggu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemancing yang memaklumkan terlihat kelibat haiwan reptilia itu pada Khamis minggu lalu.
Menurutnya, susulan aduan itu, pihaknya sekali lagi telah turun ke lokasi pada Selasa lalu dan mendapati tiada buaya yang muncul serta tidak dapat disahkan.
Katanya, pengadu juga telah dihubungi dan siasatan di lokasi aduan mendapati jarak dari taman itu ke Sungai Melaka dianggarkan kira-kira 2.65 kilometer (km).
"Bagaimanapun, rondaan berkala dan pemantauan berjaga-jaga di lokasi aduan masih dilakukan.
"Kita berharap orang awam, terutama kaki pancing, tidak bertindak sendiri dan sekiranya mempunyai sebarang aduan konflik berkaitan hidupan liar, boleh menghubungi hotline Perhilitan di talian 1800-88-5151," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau juga tidak dapat mengecam jenis buaya itu namun tidak menolak kemungkinan buaya tembaga kerana kebanyakan reptilia jenis itu banyak terdapat di negeri ini.
Terdahulu, tular di media sosial gambar kelibat buaya di kawasan tasik berkenaan, malah pihak polis juga telah memasang pita garisan kuning sebagai langkah berjaga-jaga dan menghalang individu memasuki kawasan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!