Nabil Ahmad bukan cakap kosong, buka madrasah tahun depan

Nabil sempat 'membawa' peminat mengimbau suasana di dalam rumahnya ketika masih menetap di rumah berkenaan.
Nabil sempat 'membawa' peminat mengimbau suasana di dalam rumahnya ketika masih menetap di rumah berkenaan.
A
A
A

Pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad menzahirkan kesungguhan dalam merealisasikan impian untuk menjadikan rumah lama ibunya di Mambau, Negeri Sembilan sebagai sebuah madrasah.

Menerusi perbualan bersama Sinar Harian, Nabil memaklumkan perancangan tersebut kini berada dalam fasa awal dan dijangka bermula pada awal tahun hadapan.

“Alhamdulillah sekarang dalam proses buat pelan. Nanti saya akan kongsi, insya-ALLAH. Sekarang masih dalam fasa perancangan dan insya-ALLAH awal tahun 2026 akan mula,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Nabil mendedahkan perancangan untuk menjadikan rumah lama yang didiami sejak kecil sebagai madrasah, ketika pulang ke kampung bagi melakukan ibadah korban.

"Rumah lama itu biasa saja... tapi dalam dia penuh rasa.

"Insya-ALLAH kalau ada rezeki kita akan jadikan rumah ini madrasah. Dapat pahala (buat) mak dan adik-beradik mak," ujar Nabil dalam video yang dirakamkan isterinya.

Nabil turut menyatakan bahawa rumah tersebut kini tidak berpenghuni memandangkan ibunya tinggal bersama adik-beradiknya yang lain.

Perkongsian Nabil menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata menyokong hasrat murni itu serta mendoakan agar segala perancangan berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!