'Tunggu kongres luar biasa FAM'

NOOR AZMAN
NOOR AZMAN
A
A
A

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi pelantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat badan induk tersebut.

Menurut Noor Azman, segala keputusan rasmi hanya akan ditentukan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM yang dijadual berlangsung pada 30 Jun ini.

"Kita tunggu bagaimana kongres luar biasa tersebut. Tetapi memang kita tidak menafikan pengalaman beliau mentadbir persatuan bola sepak selain hubungan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga kerajaan.

"Buat masa sekarang ini pun memang saya sendiri juga masih meminta pandangan serta nasihat daripada beliau dan sebagainya. Tetapi, untuk itu (Presiden Kehormat) kita tunggu kongres nanti," katanya.

Terdahulu, spekulasi mengenai pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat mula timbul sejurus beliau mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM pada Kongres Pemilihan Januari lalu.

Langkah itu membuka laluan kepada Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub untuk dipilih sebagai Presiden baharu FAM selepas menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, Noor Azman menafikan dakwaan bahawa Hamidin sudah mula menjalankan tugas sebagai Presiden Kehormat FAM, sebaliknya menjelaskan kehadiran beliau dalam beberapa majlis rasmi FAM adalah atas kapasiti jawatannya di peringkat antarabangsa.

"Tan Sri adalah mantan presiden dan segala majlis kita jemput mantan presiden. Tan Sri juga masih memegang jawatan sebagai Exco AFC dan AFF.

Artikel Berkaitan:

"Maksudnya mengambil contoh kelayakan Piala Asia lawan Vietnam baru-baru ini, Tan Sri Ahli Majlis FIFA dan juga AFC, ia bermakna kita memang ikut daripada protokolnya (untuk jemput Tan Sri) kerana Ahli Majlis FIFA paling tertinggi sekali.

"Lebih menguatkan kerana beliau merupakan mantan Presiden FAM dan kita kena hormati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!