Pelajar maut nahas motosikal, lori

Motosikal dinaiki mangsa.
Motosikal dinaiki mangsa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 10.44 pagi dan melibatkan motosikal jenis Yamaha EZ115 serta sebuah lori jenis Hohan ZZ4255.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal cuba memotong dari arah kiri sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Situasi itu menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di bahu jalan, manakala pembonceng tercampak dan terperosok di bawah bahagian belakang lori sebelum dilanggar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal yang juga berusia 14 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan lebih berhati-hati terutama ketika waktu puncak.

Artikel Berkaitan:

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!