Penyamun lari tangan kosong, panik bila mangsa jerit minta tolong

HULU SELANGOR – Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki cuba melakukan samun bersenjata di sebuah kedai memproses mi di Ulu Yam Baharu di sini pada Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, mangsa berusia 30 tahun telah tampil membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.42 pagi.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu turut tular di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Asri berkata, siasatan awal mendapati dua individu berpakaian serba hitam, bertopi, bertopeng muka dan bersenjatakan parang telah datang melalui pintu belakang premis sebelum cuba menyerang mangsa.
"Mangsa sempat menjerit meminta pertolongan menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil sebarang barangan," katanya.
Tambah beliau, polis masih menyiasat berhubung kenderaan yang digunakan suspek, kerana mereka didapati hanya berjalan kaki ke premis tersebut.
“Kita sedang mengesan dua suspek berkenaan yang dipercayai lelaki tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132, atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Saful Abdul Rahman di talian 013-5547435.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!