Fahmi ucap tahniah kepada Pasukan Orkestra MRSM Felda raih anugerah emas di Prague

MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak merangkul kejayaan Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech. Foto Facebook FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak merangkul kejayaan Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech. Foto Facebook FELDA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak mencipta sejarah apabila meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.

Festival yang berlangsung pada 20 dan 21 Jun di Republik Czech itu menyaksikan MAWO menewaskan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara Eropah.

MAWO dinobatkan sebagai penerima markah tertinggi oleh barisan juri profesional berdasarkan kualiti persembahan, kecekapan teknikal serta penguasaan komposisi muzik bertaraf antarabangsa.

Kemenangan tersebut diumumkan pada jam 8 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) pada Sabtu di Hotel Olsanka, Prague.

Edisi ke-26 festival berprestij itu menyaksikan penyertaan 13 kumpulan orkestra dari 11 negara, dengan Malaysia satu-satunya wakil dari benua Asia.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan, iaitu lower class, middle class dan higher class, berdasarkan tahap kesukaran karya muzik serta kemahiran peserta.

Menurut Jabatan Komunikasi Strategik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan berteraskan Ulul Albab serta sokongan agensi kerajaan terhadap pembangunan potensi generasi muda mampu melahirkan bakat cemerlang yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ia bukan sahaja membanggakan warga MRSM dan Felda, malah menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda luar bandar bahawa tiada batasan untuk berjaya di pentas dunia,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan buat MAWO dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak kerana memenangi anugerah emas di Prague hari ini! Satu kebanggaan buat keluarga besar Felda khususnya dan rakyat Malaysia amnya!

“Cuba bayangkan, anak-anak Felda itu baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tetapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar mendonia!” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, memaklumkan beliau amat berbangga dengan pencapaian MAWO di pentas antarabangsa.

“Kumpulan orkestra ini bermula daripada sifar jika dibandingkan dengan pemuzik lain, namun mereka menunjukkan bakat bermain muzik dengan sangat baik,” katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Justeru, beliau menyifatkan kejayaan MAWO yang terdiri daripada anak-anak peneroka Felda dan bermula dari bawah hingga mencapai tahap membanggakan sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

Menurutnya, pihak RTM turut membantu dengan menganjurkan konsert Desaku Mendunia bagi meraikan bakat pasukan tersebut sebelum mereka berangkat ke Prague.

Mokhzani turut menjelaskan bahawa beliau bertindak sebagai penasihat kepada kumpulan orkestra terbabit yang dilatih oleh konduktor, Raja Muzaffar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!