Mekanisme pantau perlindungan digital kanak-kanak perlu telus – Nurul Izzah

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa merangka dan membentangkan sistem pemantauan yang lebih jelas serta telus dalam melindungi kanak-kanak di alam digital.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu mengemukakan laporan terbuka mengenai kes semasa serta semua kes lampau agar rakyat dapat meneliti perkembangan atau memastikan pertanggungjawaban terjamin.

“Realiti kini menunjukkan pelaku jenayah seksual semakin licik dan canggih. Mereka menggunakan teknologi dan ‘dark web’ untuk menyembunyikan jejak.

“Ini bukan kali pertama kita dikejutkan dengan insiden yang mengguris jiwa. Namun seperti biasa, tindakan sering hadir terlalu lambat.

“Dalam hal ini, kami ingin menzahirkan penghargaan kepada aktivis dan pempengaruh media sosial seperti Mekyun dan lain-lain yang telah berani menyuarakan isu eksploitasi seksual kanak-kanak secara terbuka dan menyedarkan masyarakat. Usaha ini wajar dicontohi dan digembleng bersama oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, kumpulan Facebook (FB) dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang mencetuskan kemarahan ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh, didapati tidak lagi boleh diakses sejak petang Rabu, minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati cubaan untuk mengakses kumpulan berkenaan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘public group’ gagal dilakukan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menghargai usaha segera pihak berkuasa serta platform media sosial yang bertindak menutup kumpulan Facebook tersebut, namun menganggap langkah itu belum mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk mendakwa kesalahan seksual dalam talian terhadap golongan ini. Langkah itu sememangnya dialu-alukan.

"Namun begitu, masih banyak jurang yang perlu dirapatkan, kelemahan yang perlu diperbaiki dan tindakan susulan tanpa lengah demi melindungi mereka yang paling mudah terdedah kepada bahaya.

"Apa yang amat diperlukan adalah gerak kerja yang tersusun, tegas dan padu daripada agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, SKMM serta KPWKM," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya Parlimen diberikan taklimat berkala mengenai prestasi Unit Khas Jenayah Seksual D11 iaitu selepas setahun penubuhannya, supaya semua pihak dapat menilai kekuatan dan kekurangannya dengan jujur dan objektif.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah juga menyarankan supaya akses kepada Daftar Pesalah Seksual Kanak-Kanak yang diwujudkan pada 2019 dipermudahkan untuk kegunaan awam.

“Bukan untuk mengaibkan, tetapi untuk melindungi. Kita boleh mencontohi semangat kerjasama rentas sempadan antara pasukan polis seperti yang ditunjukkan oleh 13 buah negara Amerika Latin dan tujuh buah negara Eropah melalui rangkaian ELIPSIA,” kata beliau.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga disaran memperkukuh kurikulum pendidikan kesihatan dengan memasukkan aspek keselamatan dalam talian supaya pelajar dapat mengenal pasti pemangsa serta tingkah laku yang tidak wajar di Internet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!