China kecam keras serangan AS ke atas Iran

BEIJING – Kementerian Luar China pada Ahad menyatakan bahawa Beijing "mengutuk sekeras-kerasnya" serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, sambil menegaskan bahawa tindakan itu hanya akan "meningkatkan ketegangan di Asia Barat".
“China menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik, khususnya Israel, supaya menghentikan tembakan secepat mungkin,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump mengesahkan bahawa pesawat pejuang negara itu telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear utama Iran, sekali gus menandakan penglibatan rasmi Washington dalam perang Israel-Teheran yang kini menjadi titik panas geopolitik global.
Menteri Luar Iran pada Ahad turut mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan bahawa AS serta Israel telah “melangkaui garis merah yang sangat besar”, sambil menegaskan bahawa Iran akan mempertahankan diri “dengan apa jua cara yang perlu”.
Kementerian Luar China turut senada dengan Rusia dan beberapa negara Arab yang menyelar tindakan ketenteraan AS.
Presiden China, Xi Jinping, minggu lalu menekankan bahawa gencatan senjata antara Iran dan Israel merupakan “keutamaan utama” dalam perbualan telefon bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Keganasan bukanlah jalan yang betul untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa,” kata Xi seperti yang dipetik oleh Kementerian Luar China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!