'Olympic House' mercu tanda baharu kemajuan sukan negara

BANGUNAN baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dikenali sebagai 'Olympic House' bakal menjadi mercu tanda ikonik Hab Sukan Negara dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Ikonik baharu yang akan dibangunkan di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil itu dianggarkan menelan kos sebanyak RM97 juta.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, majlis pecah tanah dijadual dilakukan pada akhir bulan depan selepas mendapat lampu hijau Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
"'Olympic House' ini bukan sekadar berpindah lokasi semata-mata, sebaliknya simbol kemajuan pengurusan sukan negara.
"Jika kelulusan pelan bangunan (DO) dapat diperoleh maka proses pembinaan akan bermula hujung tahun dan dijangka siap menjelang akhir 2028," katanya.
Beliau ditemui media sempena pelancaran sambutan Hari Olimpik di Bukit Jalil sebentar tadi.
Turut hadir Pengerusi PSM, Datin Anita Azrina Abdul Aziz dan Timbalan Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad.
Mohamad Norza menjelaskan bahawa pembangunan tersebut melibatkan dua fasa yang dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.
"Fasa pertama adalah bangunan utama, manakala fasa kedua meliputi dewan jamuan serta hotel dan kita akan cuba buat yang terbaik.
"Jadi kita akan mulakan proses penghantaran permohonan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kelulusan segera," katanya.
Mengulas projek itu boleh siap sebelum Sukan SEA 2027 ketika Malaysia menjadi tuan rumah, beliau tidak menolak kemungkinan mempercepatkan fasa pertama sekiranya terdapat kerjasama erat daripada pihak berkepentingan termasuk PSM dan DBKL.
"Kalau fasa satu boleh dipercepatkan, ia sangat bergantung kepada kolaborasi strategik ini.
"Sebab itu penting untuk kita semua MOM, PSM dan semua 58 persatuan sukan kebangsaan berada di landasan dan garis masa yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!