Empat premis sembelih ayam haram diarah tutup

Empat daripada tujuh pusat penyembelihan ayam di Kuala Lumpur diarah tutup serta-merta oleh DBKL atas pelbagai kesalahan melibatkan kebersihan, pengendalian sisa dan pelanggaran lesen. Foto: Facebook DBKL
Empat daripada tujuh pusat penyembelihan ayam di Kuala Lumpur diarah tutup serta-merta oleh DBKL atas pelbagai kesalahan melibatkan kebersihan, pengendalian sisa dan pelanggaran lesen. Foto: Facebook DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat daripada tujuh premis penyembelihan ayam di Jalan Semerah Padi dan Jalan Kuari, Bukit Cheras, di sini telah diarahkan tutup serta-merta atas pelbagai kesalahan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan bahawa tindakan itu diambil melalui Operasi Bersepadu Pemeriksaan Pusat Penyembelihan Ayam oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dengan kerjasama strategik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan yang dikesan termasuk penyembelihan tanpa sijil halal dan tidak berdaftar, lantai serta dinding premis yang kotor, ayam direndam dalam air kotor bercampur darah, serta pembuangan sisa terus ke dalam longkang dan saliran monsun.

“Lebih membimbangkan apabila semua pekerja pemprosesan merupakan warga asing dan premis-premis ini membekalkan ayam ke restoran sekitar Cheras dan Kuala Lumpur.

“Pihak JAWI turut mengesahkan bahawa terdapat individu yang menyembelih di premis terbabit telah dibatalkan sijil penyembelihannya.

“Kesemua premis juga gagal mengemukakan bukti suntikan pelalian, kursus pengendalian makanan, dan penyelenggaraan perangkap minyak serta penapis sisa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah DBKL, lapan notis dan kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan kebersihan, pengendalian sisa dan pelanggaran lesen.

DBKL berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan akan terus memperketat tindakan penguatkuasaan dan penyelarasan struktur premis tanpa kelulusan.

Artikel Berkaitan:

“DBKL akan memastikan keselamatan makanan dan kesucian amalan penyembelihan terus terpelihara untuk kesejahteraan warga kota,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!