123 calon STPM di Kelantan dapat PNGK 4.0

KOTA BHARU - Seramai 123 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Kelantan mendapat purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 berbanding tahun sebelumnya iaitu 90 orang sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 33 calon.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, daripada jumlah itu, seramai 56 calon memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki dengan PNGK 4.0.
Menurut beliau, seramai 67 calon lagi memperoleh 4A dan PNGK 4.0 daripada empat mata pelajaran yang diduduki.
"Empat calon dari Kelantan akan menerima anugerah pelajar terbaik STPM peringkat nasional.
"Tiga daripada mereka dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas iaitu Nur Amalina Osman, Nurnajwa Syafina Mohd Redzuan dan Muhammad Irham Mazlan manakala seorang lagi calon dari SMK Sri Aman, Pasir Puteh iaitu Ahmad hakimi Sharifuddin," katanya.
Mohd Hassany memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan pencapaian peratusan lulus penuh iaitu Pengajian Am, Bahasa Cina, Bahasa Arab, Usuluddin dan Tahfiz al-Quran.
"Mata pelajaran lain yang turut menunjukkan pencapaian terbaik ialah Sejarah, Geografi dan Pengajian Perniagaan," katanya.
Katanya, bilangan calon yang mendapat PNGK 3.0 ialah seramai 1,930 berbanding tahun 2023 iaitu 1,959 menunjukkan penurunan sebanyak 29 calon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!