Presiden Iran minta Anwar sampaikan pendirian kepada negara Islam

SHAH ALAM – Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian memohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan pendirian negara itu kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.
Kenyataan tersebut dibuat dalam siri perbualan telefon antara Anwar dan Pezeshkian pada Selasa, susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga fasiliti nuklear utama Iran di Isfahan, Natanz dan Fordow.
“Pezeshkian mengesahkan Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat Israel tidak meneruskan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.
“Saya baru selesai berhubung melalui telefon bersama Pezeshkian berhubung perkembangan terkini konflik antara Iran dan rejim Zionis Israel,” kata Anwar menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut bukan sahaja nyawa orang awam, malah kepimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.
Menurut beliau, tindakan tersebut melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar. Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.
“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” tegas beliau.
Sementara itu, ujar Anwar, Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
“Malaysia percaya hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!