MPPK kecam tindakan mahasiswa bakar karikatur PM

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam keras tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur pemimpin tertinggi negara semasa satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media, MPPK menyifatkan perbuatan itu sebagai keterlaluan dan mencemar martabat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

MPPK menegaskan bahawa mereka menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus, namun kebebasan tersebut perlu disertai kematangan intelektual dan tidak disalurkan melalui tindakan ekstrem atau provokatif.

“Tindakan membakar karikatur ini bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti.

“MPPK juga mengingatkan bahawa mahasiswa seharusnya menjadi teladan dalam memperjuangkan pandangan secara beradab, bukannya menggunakan pendekatan biadab atau menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan satu aksi membakar kain rentang bergambar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa pada penghujung satu perhimpunan aman di Kota Kinabalu, Sabah, pada Ahad lalu.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh kumpulan dikenali sebagai Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, sebagai bantahan terhadap isu rasuah dan dakwaan kegagalan pentadbiran kerajaan semasa dalam menunaikan janji reformasi institusi.

Jurucakap kumpulan itu, Fadhil Kasim berkata, pembakaran karikatur tersebut merupakan simbol protes terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, meskipun tokoh berkenaan pernah berdepan 46 pertuduhan jenayah berkaitan konsesi balak di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, semua pertuduhan tersebut ditarik balik oleh pihak pendakwaan dan Musa dilepas serta dibebaskan oleh mahkamah pada Jun 2020.

Dalam kenyataan sama, MPPK turut menzahirkan penghargaan terhadap sikap berjiwa besar Perdana Menteri yang mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti untuk tidak mengambil tindakan keras, termasuk menamatkan pengajian pelajar-pelajar yang terlibat.

“Pendekatan penuh ihsan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak muda tercicir daripada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” tambah kenyataan itu.

MPPK juga menegaskan komitmen mereka untuk terus memelihara keharmonian kampus sebagai ruang intelektual yang kondusif bagi pembangunan ilmu, sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.

Sehubungan itu, MPPK menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk tindakan yang mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman awam dan terus memastikan keamanan kampus dan negara demi masa depan yang lebih bermaruah dan bersatu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!