50 lori buang sampah haram di Sepang disita

Muhamad Shah mengendalikan Mesyuarat MPSepang di Bilik Semarak di sini pada Rabu.
Muhamad Shah mengendalikan Mesyuarat MPSepang di Bilik Semarak di sini pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Sebanyak 50 lori terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram disita Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sehingga Jun tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin berkata, tindakan tegas itu dilaksanakan menerusi rondaan berkala oleh Jabatan Penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan yang kian berani dan tidak menghiraukan undang-undang.

"Sebanyak 70 kompaun juga telah dikeluarkan kepada pelaku, manakala setiap sitaan lori boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000," katanya semasa Mesyuarat MPSepang di Bilik Semarak di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, hampir setiap minggu MPSepang menangkap individu yang membuang sampah secara haram, namun usaha menjejaki dalang sebenar kegiatan itu masih mencabar kerana memerlukan proses pembuktian lengkap bagi tujuan pendakwaan.

Ujar beliau, isu tapak sampah haram merupakan cabaran besar terhadap kelestarian alam sekitar dan imej perbandaran, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam serta mutu hidup penduduk.

"Setakat ini, terdapat 13 lokasi aktif dikenal pasti manakala sembilan tapak lain telah berjaya ditutup sepenuhnya," tambah beliau.

Muhamad Shah menjelaskan, kegiatan haram itu biasanya didalangi kontraktor atau individu diupah pihak kilang dan tapak binaan yang mengambil jalan mudah demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar.

“Pembuangan sisa secara tidak terkawal boleh menjejaskan ekosistem setempat dan kita mohon kerjasama orang awam untuk tampil menyalurkan maklumat supaya tindakan dapat diambil segera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan MPSepang sedang giat memperhebat kerjasama dengan agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan bagi membanteras tapak pelupusan sampah haram secara komprehensif.

Katanya, sebanyak tujuh unit kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di lokasi panas sebagai langkah pemantauan dan bukti untuk mendakwa pesalah.

“MPSepang memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi demi kesejahteraan masyarakat.

"Kita akan terus komited menjadikan Sepang sebuah bandar yang bersih dan lestari,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!