ICQS Bukit Kayu Hitam sesak, 9,000 kenderaan masuk Thailand

Kesesakan aliran trafik di ICQS Bukit Kayu Hitam bermula seawal jam 6 pagi sebaik sahaja pintu sempadan dibuka kepada orang ramai.
Kesesakan aliran trafik di ICQS Bukit Kayu Hitam bermula seawal jam 6 pagi sebaik sahaja pintu sempadan dibuka kepada orang ramai.
A
A
A

KUBANG PASU – [DIKEMAS KINI] Setiap kali cuti musim perayaan, suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kembali sesak dengan ribuan pelancong yang memasuki Thailand.

Sempena cuti umum Maal Hijrah yang lebih panjang sehingga Ahad, orang ramai tidak melepaskan peluang melancong ke Thailand pada hujung minggu ini, menyebabkan aliran trafik tinggi sejak awal pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kesesakan aliran trafik ke pintu sempadan itu mula berlaku seawal jam 6 pagi Jumaat apabila pintu sempadan dibuka kepada orang ramai.

“Dianggarkan sebanyak 8,000 hingga 9,000 kenderaan ringan menghala masuk ke Thailand sejak awal pagi hingga petang ini, dengan kebanyakan mereka mengambil kesempatan bercuti ke negara jiran berikutan cuti hujung minggu yang panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dianggarkan sekitar 8,000 hingga 9,000 kenderaan ringan menghala masuk ke Thailand sejak awal pagi hingga petang Jumaat.
Dianggarkan sekitar 8,000 hingga 9,000 kenderaan ringan menghala masuk ke Thailand sejak awal pagi hingga petang Jumaat.

Menurutnya, walaupun kaunter imigresen dibuka dengan empat lorong bagi mempercepatkan urusan keluar masuk, aliran trafik tetap perlahan, terutamanya di pintu masuk Kompleks Imigresen Danok, Thailand.

Mohd Radzi berkata, kesesakan mula berkurangan menjelang jam 3 petang, namun aliran trafik masih padat sehingga jam 6 petang.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan kesesakan itu, pihak ICQS terpaksa membuka laluan pusingan U antara jam 3.30 petang hingga 5 petang bagi memberi laluan kepada pengguna yang tidak sanggup menunggu terlalu lama untuk berpatah balik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang bercadang untuk bercuti ke Thailand agar merancang perjalanan dengan sebaiknya serta menggunakan laluan alternatif seperti di Padang Besar atau Durian Burung bagi mengelakkan kesesakan teruk pada waktu puncak.

“Pihak polis sentiasa memantau dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai bagi memastikan kelancaran aliran trafik di pintu masuk sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, sebahagian pelancong yang ingin bercuti ke Hatyai, Thailand memilih alternatif menaiki kereta api bagi mengelakkan kesesakan trafik di ICQS Bukit Kayu Hitam yang padat setiap kali cuti panjang.

Nur Aliya Hamid, 34, bersama empat rakannya memilih menaiki kereta api kerana pengangkutan itu bukan sahaja lebih murah, malah lebih mudah dan menjimatkan masa.

“Tambang ke Hatyai sekitar 50 baht atau RM7 hingga RM8 bagi perjalanan sejam, jauh lebih murah berbanding kos minyak dan tol jika menggunakan kereta.

“Hotel juga banyak berhampiran stesen kereta api, jadi kami boleh pilih untuk berjalan kaki sahaja atau menaiki e-hailing di sana. Ia lebih mudah dan murah,” katanya.

Menurut Nur Aliya, menaiki pengangkutan awam juga membolehkan mereka berehat sepanjang perjalanan tanpa perlu bersusah payah menghadapi kesesakan trafik di ICQS, terutama semasa cuti hujung minggu yang panjang sempena Maal Hijrah ini.

“Kami memang rancang perjalanan dengan kereta api kerana tidak mahu membuang masa berjam-jam dalam kesesakan untuk memasuki sempadan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!