Hanya 30 peratus peniaga beralih ke plastik biodegradasi

SEREMBAN - Kesedaran terhadap larangan penggunaan beg plastik dalam kalangan peniaga masih rendah apabila hanya sekitar 30 peratus daripada mereka beralih kepada penggunaan beg plastik sekali guna atau biodegradasi.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, bagi meningkatkan kesedaran, tindakan penguatkuasaan menerusi kompaun telah dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Menurutnya, penguatkuasaan tegas itu wajar dilaksanakan memandangkan peniaga telah diberikan masa mencukupi selama lebih dua tahun untuk beralih kepada penggunaan plastik biodegradasi melalui pelbagai kempen.
“Selama dua tahun ini, kita hanya menggunakan kempen untuk mendidik dan memastikan lebih ramai memahami tujuan pelaksanaan larangan ini.
“Tempoh yang diberikan telah mencukupi dan kini langkah penguatkuasaan melalui kompaun sebanyak RM250 kepada peniaga yang tidak patuh perlu dilaksanakan agar kempen ini mencapai objektifnya,” katanya selepas menghadiri Kempen Sifar Plastik di Pasar Besar Seremban pada Sabtu.
Selain penguatkuasaan, beliau turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meneruskan kempen mendidik masyarakat untuk beralih kepada plastik biodegradasi.
Jelasnya, sepanjang kempen berlangsung, sebanyak 200 notis amaran telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mematuhi syarat lesen yang hanya membenarkan penggunaan plastik biodegradasi.
Katanya, menerusi langkah penguatkuasaan itu, kerajaan negeri menyasarkan kadar penggunaan beg plastik biodegradasi dapat ditingkatkan kepada 50 peratus menjelang hujung tahun ini.
“Bagi pasar raya besar pula, sasaran 100 peratus diletakkan. Mereka merupakan syarikat besar dan mampu melaksanakannya.
"Jika sebahagian telah memulakan, tidak adil jika sebahagian lain masih ingkar. Oleh itu, penguatkuasaan amat perlu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa premis tidak dibenarkan menjual atau mengenakan sebarang caj kepada pengguna untuk mendapatkan beg plastik.
“Di Negeri Sembilan, kita bukan sahaja melarang penggunaan plastik, tetapi juga tidak membenarkan mana-mana peniaga menjualnya dengan harga 20 sen atau 50 sen.
“Tiada konsep bayar dapat plastik. Kempen ini bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan tetapi untuk memastikan kejayaannya,” tegas beliau.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa sebanyak 70 peratus peniaga di Pasar Besar Seremban telah beralih kepada penggunaan beg plastik biodegradasi sejak larangan tersebut dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!