Bot terbalik di Pulau Perhentian: Keluarga mangsa trauma, enggan ditemu bual

Waris mangsa kelihatan sugul ketika menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik HSNZ, Kuala Terengganu pada Ahad.
Waris mangsa kelihatan sugul ketika menunggu proses bedah siasat di Jabatan Forensik HSNZ, Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, susulan tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut, malam Sabtu yang meragut tiga nyawa, termasuk dua kanak-kanak.

Waris mangsa yang menanti proses bedah siasat bagi urusan membawa pulang mayat ke kampung halaman masing-masing kelihatan bersedih dan enggan ditemu bual kerana masih diselubungi trauma.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, kesemua mangsa datang bercuti ke pulau itu sejak Jumaat dan dijadualkan pulang pada Ahad.

“Ahli keluarga mangsa sangat sedih dan masih terkejut dengan kejadian. Ketika ini mereka belum bersedia untuk bercakap dengan mana-mana pihak termasuk media,” katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.

Waris mangsa yang maut dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada malam Sabtu masih trauma ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, Kuala Terengganu pada Ahad.
Waris mangsa yang maut dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada malam Sabtu masih trauma ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, Kuala Terengganu pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa terlibat terdiri daripada empat buah keluarga yang membabitkan seramai 15 individu.

Katanya, dua mangsa yang terkorban iaitu seorang bapa dan anak perempuan berasal dari Butterworth, Pulau Pinang manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan, pada malam kejadian mereka baru selesai makan malam di Pulau Perhentian Kecil dan menaiki bot untuk pulang ke penginapan di Pulau Perhentian Besar sebelum bot terbalik akibat cuaca buruk,” katanya.

Tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Arumugam Sativelo, 40, Sarrvihka Arumugam, 3, dan Vennpani Vijeya Raj, 10.

Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Sakthivel Tamil Selvan, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, mayat ketiga-tiga mangsa tiba di Jabatan Forensik HSNZ kira-kira jam 10.30 pagi dan proses bedah siasat selesai sekitar jam 2.30 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Sabtu, bot yang membawa 15 penumpang berusia antara 3 hingga 40 tahun itu terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil.

Seramai 11 mangsa yang terselamat kini dirawat di Hospital Besut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!