Kes buli MRSM Besut di peringkat akhir siasatan, lima pelajar dibebaskan

BESUT – Siasatan berhubung kes buli membabitkan dua pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah ini kini berada di peringkat akhir.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, lima daripada tujuh pelajar yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad, manakala dua lagi akan dibebaskan pada Isnin.
Menurutnya, pegawai penyiasat akan menghubungi keluarga pelajar terlibat bagi urusan lanjut berkaitan prosedur pembebasan.
"Buat masa ini, siasatan masih diteruskan dengan mengambil beberapa dokumen dan maklumat tambahan termasuk laporan prestasi pelajar, laporan perubatan serta mengesan saksi-saksi kejadian.
"Kertas siasatan juga sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.
"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh disalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956222," ujarnya.
Sebelum ini, lima pelajar berkenaan direman selama tiga hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua di MRSM berkenaan.
Tahanan reman terhadap empat pelajar Tingkatan Tiga dan seorang Tingkatan Lima itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Dua lagi pelajar direman pada Sabtu selepas mangsa kedua tampil membuat laporan polis pada Khamis lalu mendakwa turut menjadi mangsa dalam kejadian sama.
Siasatan terhadap dua pelajar berkenaan dijalankan di bawah seksyen sama.
Sebelum ini, dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM tersebut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama sekitar jam 11.30 malam pada Selasa lalu.
Seorang daripadanya mendakwa dipaksa duduk dalam keadaan separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!