Warga emas hilang ketika kutip durian di kebun

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang ketika mencari buah di kawasan kebun durian di Changkat Sungai Ara 1, di sini pada petang Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Daud berusia 65 tahun dilaporkan hilang kira-kira jam 6.04 petang selepas gagal dihubungi oleh ahli keluarganya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada polis mengenai kejadian tersebut lalu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dengan kekuatan 10 anggota termasuk seorang penyelia telah dikejarkan ke lokasi sejauh tiga kilometer dari balai.
"Operasi pencarian telah dijalankan bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan mangsa dipercayai hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, pencarian sehingga jam 8 malam bagaimanapun masih belum membuahkan hasil dan operasi dihentikan sementara.
"Operasi akan disambung semula pada jam 8 pagi esok (Isnin).
"Bagaimanapun, usaha pencarian oleh polis masih diteruskan menerusi maklumat yang diperoleh daripada keluarga mangsa," katanya.
Menurutnya, operasi melibatkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Bayan Baru.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan ini diminta menghubungi balai polis atau pihak bomba berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!