Hamidin dilantik Presiden Kehormat FAM

[DIKEMAS KINI] BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin secara rasmi dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM dalam Kongres Luar Biasa FAM yang berlangsung pada Isnin.
Badan induk bola sepak itu dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu diluluskan oleh Kongres FAM berdasarkan kredibiliti, pengalaman luas dan sumbangan besar beliau dalam pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih tiga dekad.
"Pelantikan ini dibuat mengikut Artikel 22 Statut FAM yang memperuntukkan kuasa kepada Kongres untuk menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat atau Ahli Kehormat FAM kepada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada bola sepak negara.

“Bagi gelaran Presiden Kehormat FAM, individu terbabit mestilah pernah memegang jawatan Presiden FAM, manakala bagi Ahli Kehormat pula, individu tersebut pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM,” kata kenyataan itu.
Sebagai rekod, kali terakhir gelaran Presiden Kehormat FAM dianugerahkan kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah pada tahun 2014.
Dalam pada itu, FAM menjelaskan Hamidin diberikan tanggungjawab dan peranan tertentu yang menyokong struktur tadbir urus FAM.
"Antaranya ialah memberi Nasihat kepada Badan-badan utama FAM, Menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap FAM, bertindak sebagai duta rasmi FAM.
"Selain itu, beliau turut akan melaksanakan peranan tambahan mengikut keperluan dan persetujuan Jawatankuasa Eksekutif FAM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!