Ke manakah hala tuju politik Hishammuddin?

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

Tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kekal dengan pendirian enggan mengemukakan rayuan berhubung penggantungan keahliannya dalam parti itu menimbulkan persoalan besar mengenai hala tuju dan masa depan kerjaya politiknya.

Sebelum ini, Hishammuddin bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian parti selama enam tahun pada 27 Januari 2023.

Pada Isnin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin selaras dengan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, Hishammuddin yang pernah memegang jawatan Menteri Kanan (Pertahanan) menegaskan bahawa beliau tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan keahlian parti.

Beliau tetap memilih untuk tidak merayu dan menerima keputusan parti yang pernah menjadi pentas utama kerjaya politiknya selama lebih dua dekad.

Ini kerana Ahli Parlimen Sembrong itu berkeyakinan bahawa beliau tidak akan diadili sebaiknya, selain tidak mahu menggadaikan prinsip yang dipegang selama ini.

Keputusan Hishammuddin itu dilihat sebagai manifestasi kekecewaan terhadap kepimpinan parti yang menurutnya telah mengambil tindakan penggantungan tanpa mengikut prosedur, namun apabila ada permintaan daripada UMNO Bahagian Sembrong supaya beliau diterima semula, ia perlu melalui prosedur tertentu.

Ketiadaan Hishammuddin yang sinonim dengan legasi keluarga mantan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn dalam gelanggang rasmi parti menjadikan beliau ibarat 'pemain bebas' yang sukar dibaca.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, sejarah politik tanah air membuktikan bahawa tiada yang mustahil.

Pernah ada pemimpin yang kembali bangkit selepas dipinggirkan, asalkan mereka mempunyai pengaruh, rangkaian dan kemahuan untuk kekal relevan.

Apa pun keputusannya, langkah Hishammuddin yang merupakan cucu kepada pengasas UMNO menolak untuk merayu tetap menjadi isyarat bahawa prinsip dan pendirian adalah lebih penting daripada jawatan serta kedudukan dalam parti.

Bagi penyokong setia, tentu sahaja keputusan itu menimbulkan kekecewaan, namun bagi Hishammuddin sendiri, ia mungkin jalan terbaik demi menjaga prinsip perjuangannya yang selama ini kental mempertahankan idealisme politik tertentu.

Kini, segalanya bergantung kepada langkah seterusnya. Sama ada terus menyepi atau kembali melalui platform baharu, masa depan Hishammuddin tetap menjadi perhatian sama ada terkubur atau bangkit semula, hanya masa yang akan menentukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!