'Ombak besar' feri jejaskan penternakan kupang

Dua feri kelihatan dipandu laju ketika melalui Jeti Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Gambar kecil dari kiri: Ibrahim, Noraida, Rabiah
Dua feri kelihatan dipandu laju ketika melalui Jeti Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. Gambar kecil dari kiri: Ibrahim, Noraida, Rabiah
A
A
A

Di sebalik kehidupan harian yang tenang di Jeti Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor tersimpan keresahan penternak kupang terhadap permasalahan gelombang atau 'ombak besar' yang terhasil daripada feri yang melalui kawasan itu ke Terminal Feri Pasir Gudang.

Setiap kali feri melewati kawasan itu, gelombang kuat akan terhasil hingga memberikan kesan terhadap rumah rakit atau rumah bot mereka selain ia turut mengancam hasil ternakan kupang yang diusahakan.

Situasi itu dilihat bukan sahaja memberikan tekanan kewangan kepada nelayan, malah turut mengancam kelangsungan industri penternakan kupang di kawasan tersebut sekiranya tiada langkah segera diambil bagi mengatasinya.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI berhubung masalah yang membelenggu penternak kawasan itu.

Ramai penternak kupang di Jeti Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang kecewa kerana hasil yang diperoleh kerana masalah 'gombak besar' yang berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.
Ramai penternak kupang di Jeti Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang kecewa kerana hasil yang diperoleh kerana masalah 'gombak besar' yang berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

Penternak kupang mengeluh kerana terpaksa berdepan kos penyelenggaraan tinggi terutamanya melibatkan ternakan kupang yang diusahakan selain kerosakan rumah rakit di kawasan berkenaan hampir setiap hari.

Ibrahim @ Rahim Batala, 52, berkata, masalah itu bukan perkara baharu dan sememangnya telah kerap berlaku.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, masalah tersebut semakin membebankan apabila kerosakan berlaku hampir setiap hari dan bagi membaik pulihnya, ia memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Apabila gelombang feri itu datang, memang ada berlaku kerosakan. Lagi kuat gelombang lagi besarlah kerosakannya.

“Perkara inilah yang paling kami risaukan sekarang. Kerosakan bukannya berlaku cuma sekali setiap bulan tetapi setiap hari sekali gus menjejaskan ternakan kupang yang kami usahakan di sini.

“Kalau ternakan kupang terjejas, memang makan belanja jugalah untuk ternak yang baharu nanti.

“Jadi boleh kata keadaan di sini sudah sampai tahap kritikal,” katanya yang juga nelayan ketika ditemui di jeti nelayan kampung berkenaan.

Rabiah Md Ali, 63, turut meluahkan rasa risau dengan kedudukan rumah rakit nya yang dibina di kawasan penternakan kupang tersebut.

“Setiap kali feri lalu, memang bergoyanglah rumah rakit ini. Kalau kuat gelombang ombaknya, lagi kuatlah bergoyang rumah rakit ni.

“Jadi bagi kami yang menjadikan ternakan kupang ini sebagai sumber rezeki, kami terpaksa memikirkan cara baharu menternak kupang untuk elak terus alami kerugian sebegini,” katanya.

Menurut Noraida Jumain, 49, pula, gelombang yang terhasil daripada feri yang melalui kawasan tersebut boleh menyebabkan ternakan kupang terjejas kerana tali yang diikat di palang gelegar dan diturunkan ke dalam air terkesan dengan impak gelombang tersebut.

Katanya, apabila gelombang air yang kuat berlaku, ia boleh mengakibatkan ratusan kupang yang melekat pada tali berkenaan ‘gugur’ atau jatuh ke dalam air.

“Apabila perkara ini berlaku, penternak kupang di sini memang akan tanggung kerugian. Kalau boleh kami tak mahu perkara-perkara seperti itu berlaku lagi.

“Kami tahu memang kawasan jeti ini menjadi laluan feri tetapi dalam masa sama perlu juga diberikan perhatian kepada nelayan dan juga penternak kupang. Bukan saya sahaja tetapi ramai lagi mereka yang mengusahakan penternakan kupang di kawasan ini,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!