Identiti mayat mereput dikenal pasti pasangan suami isteri, anak

SEREMBAN - Identiti mayat yang ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal pada petang Selasa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri berumur 61 dan 59 tahun serta seorang anak lelaki berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, laporan berhubung kejadian diterima daripada seorang pemanggil yang memaklumkan terhidu bau busuk dari rumah jirannya pada jam 4.53 petang.
Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan torehan di bahagian lengan kanan pada mayat anak lelaki, manakala mayat ibu dan bapa tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.
"Sebaik menerima maklumat, Ketua Polis Balai Jalan Campbell bersama anggota bomba telah pergi ke rumah berkenaan
"Pihak bomba terpaksa memotong kunci mangga pagar rumah tersebut sebelum menemui tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur berasingan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pemeriksaan forensik turut menemui empat bilah pisau yang mempunyai kesan darah serta pelbagai jenis ubat-ubatan yang telah digunakan, diletakkan di atas meja ruang tamu rumah.
“Ketiga-tiga mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi bedah siasat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Adi Khusaini bin Saripudin di talian 012-7707282 atau Hotline IPD Seremban di 06-6033222.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tiga mayat yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditemukan dalam rumah berkenaan.
Seorang jiran mangsa ditemui memaklumkan, kali terakhir menemui mangsa adalah pada Jumaat lepas apabila salah seorang mangsa datang ke rumahnya untuk memberi makan pada anjing.
Menurutnya, kesemua mangsa bagaimanapun tidak kelihatan selepas itu dan menyangkakan mereka tiada di rumah atau bertugas di luar kawasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!