52 pemandu, penumpang bas disaman tidak pakai tali pinggang keledar

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau hari pertama pelaksanaan operasi penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bas ekspres dan persiaran. Foto JPJ
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau hari pertama pelaksanaan operasi penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bas ekspres dan persiaran. Foto JPJ
A
A
A

 

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 52 kesalahan membabitkan bas persiaran dan ekspres menerusi Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di seluruh negara.

Statistik itu direkodkan menerusi operasi yang dilaksanakan pada Selasa iaitu hari pertama operasi.

JPJ dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 10 kes melibatkan pemandu manakala penumpang dan kelindan pula mencatatkan 42 kes kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Menurutnya, satu kes juga dicatatkan kerana tidak memasang tali pinggang keledar.

"JPJ telah mengeluarkan satu notis arah periksa mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta satu lagi notis melarang penggunaan kenderaan yang tidak memenuhi syarat atau melanggar peraturan di bawah Seksyen 59 akta yang sama.

"Pelaksanaan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar terhadap pemandu dan penumpang adalah melibatkan semua bas ekspres dan bas persiaran.

"Sebelum ini, penguatkuasaan hanya tertumpu kepada pemandu, namun selepas 1 Julai ini tindakan tegas akan turut dikenakan ke atas penumpang,” katanya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, penumpang atau pemandu yang ingkar arahan tersebut akan dikenakan saman sebanyak RM300.

Ujarnya, selain itu, pemandu yang gagal memberikan peringatan kepada penumpang juga akan dikenakan saman bersama syarikat pengendali bas yang terlibat.

Sebelum ini, media melaporkan JPJ akan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran bermula 1 Julai, melibatkan bas yang dibina selepas Januari 2020.

Bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, tempoh masa akan diberikan untuk pemasangan tali pinggang keledar.

Dalam tragedi pada 9 Jun lalu, bas membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli, di Perak, sehingga meragut 15 nyawa penuntut UPSI.

Kemalangan itu juga menyebabkan 33 lagi cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Perak dan Kedah.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!