Setiap artis wajar dapat peluang berkualiti - Faizal Tahir

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia (UMM) mengorak langkah strategik dalam industri muzik tempatan apabila mengumumkan perolehan pegangan majoriti dalam Faithful Music, label rakaman yang diasaskan oleh penyanyi, komposer dan penerbit tersohor tanah air, Faizal Tahir.
Langkah ini sekali gus menandakan satu kolaborasi besar antara dua nama penting dalam landskap muzik Malaysia dengan matlamat untuk memperkukuh pasaran domestik dan antarabangsa, serta membuka lebih banyak ruang untuk bakat-bakat tempatan menyerlah di pentas global.
Bagi Faizal Tahir, kerjasama ini bukan sekadar urusan perniagaan, sebaliknya satu bentuk pengiktirafan terhadap kekuatan muzik Malaysia.
“Peluang bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sangat mengujakan bagi Faithful Music.
“Ini juga satu pengiktirafan besar terhadap kepentingan dan kekuatan lagu serta artis tempatan. Faithful Music ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa setiap artis, pada setiap peringkat kerjaya mereka, berhak menerima peluang berkualiti tinggi untuk berkembang maju dan berjaya," katanya.
Beliau turut menambah, melalui kerjasama ini, Faithful Music lebih bersedia memperkukuh perkhidmatan mereka kepada barisan artis sedia ada dan juga bakat baharu yang ingin mereka bangunkan secara menyeluruh.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Faizal dan rakan gandingannya, Mike Chan, Faithful Music telah melahirkan pelbagai karya berpengaruh seperti Santai, Alamak Raya Lagi dan Angau.
Label ini juga semakin dikenali kerana keupayaannya menyuntik nafas segar dalam muzik arus perdana tempatan.
Kerjasama dengan UMM turut menyaksikan Universal Music menjadi pengedar eksklusif kepada katalog muzik Faithful, termasuk membuka ruang lebih luas kepada penglibatan kreatif dan komersial, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga merentasi pasaran Nusantara seperti Singapura dan Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim menyifatkan gabungan ini sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam komuniti muzik tanah air.
“Kami teruja dapat mencipta peluang baharu dari sudut komersial dan kreatif untuk artis-artis Faithful Music. Dengan perancangan UMM untuk membangunkan segmen muzik positif dan kanak-kanak serta memperluas keupayaan sebagai agensi sehenti kepada rakan jenama, ini adalah masa paling sesuai untuk memulakan babak baharu bersama Faithful,” ujar Kim.
Kolaborasi UMM dan Faithful Music sebelum ini telah membuahkan hasil yang mengagumkan, antaranya Raya Pum Pang yang mencecah lebih sejuta tontonan di YouTube dalam dua minggu pertama pelancarannya.
Lagu Memang Smart AYE pula menyerlahkan potensi besar barisan artis baharu seperti Insomniacks, Sabronzo (DOLLA), Aziz Harun dan Killa Driz, malah telah diangkat sebagai jingle kempen Samsung Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!