Hasnah galas tugas Ketua Hakim Negara, badan kehakiman kekal teguh

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara.
A
A
A

PELAKSANAAN tugas Ketua Hakim Negara oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menjadi simbol kesinambungan kepimpinan dalam institusi kehakiman negara.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, pelaksanaan itu dibuat selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 9(1)(b) dan 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Ia turut merangkumi semua fungsi Ketua Hakim Negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan sehingga jawatan berkenaan diisi secara rasmi.

Langkah tersebut jelas memperlihatkan bahawa sistem kehakiman negara memiliki kerangka undang-undang yang mantap bagi memastikan fungsi pentadbiran tertinggi tidak terhenti walaupun berlaku peralihan.

Tan Sri Hasnah yang dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 12 November 2024 merupakan tokoh yang berpengalaman luas serta berwibawa dalam bidang kehakiman.

Kredibiliti beliau diyakini mampu memastikan perjalanan institusi kehakiman terus berjalan lancar dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Sebelum ini, jawatan Ketua Hakim Negara disandang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat sejak 2 Mei 2019 hingga hari persaraan wajib beliau pada Rabu.

Pelantikan Tengku Maimun mencipta sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan tersebut dalam sejarah Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang enam tahun menerajui institusi kehakiman tertinggi, beliau dikenang sebagai figura berprinsip yang mengangkat integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Majlis Peguam turut menyuarakan pandangan berhubung kekosongan jawatan itu dengan harapan agar pelan peralihan kepimpinan dapat diperkemas dari semasa ke semasa.

Pandangan tersebut boleh dilihat secara positif sebagai satu usaha bersama ke arah memperkukuh kecekapan tadbir urus dalam sistem kehakiman negara.

Apa yang pasti, pelaksanaan tanggungjawab yang berterusan ini menggambarkan kesungguhan badan kehakiman untuk terus menjadi benteng keadilan demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!