Pegawai polis direman, bantu siasatan rogol dan minta habuan seks

SUNGAI PETANI - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol dan meminta habuan seks daripada individu yang terlibat dalam siasatan kes jenayah.
Pegawai berusia 29 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu ditahan susulan dua laporan berasingan yang diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis masing-masing pada 3 dan 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai penyiasat untuk mendapatkan perkhidmatan seksual daripada individu berkaitan siasatan.
“Saya mengesahkan kes ini masih dalam siasatan bersama SPRM.
“Suspek kini direman selama empat hari dan akan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya pada Ahad.
Menurut Hanyan, kes disiasat di bawah Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan iaitu rogol oleh penjawat awam yang menyalahgunakan kedudukan.
“Siasatan tertumpu kepada sama ada suspek menggunakan pengaruhnya untuk memaksa mangsa atau berlaku hubungan seksual tanpa kerelaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!