Ka Siong patut semak balik peraturan dibuat zaman beliau jadi menteri - Armizan

Iklan
Armizan dan Wee Ka Siong

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengingatkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar menyemak semula peraturan digubal semasa bekas Menteri Pengangkutan itu berada dalam Kabinet sebelum mengkritik kementeriannya.

Jelas Ahli Parlimen Papar itu, tiada dasar atau peraturan baharu termasuk pemotongan mahupun pemansuhan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dilaksanakan menerusi Ops Gasak yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025.

Iklan
Iklan

Tambah Armizan, hal ini susulan punca kuasa perundangan kepada Ops Gasak adalah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu PPKB (Pindaan) 2021.

Peraturan 2021 yang digunakan dalam Ops Gasak hanya mewajibkan pemilikan permit bagi mereka yang menggunakan lebih 42 kilogram tong LPG.

Katanya, dalam PPKB (Pindaan) 2021 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak menggunakan LPG melebihi 42kg dikehendaki memohon Permit Barang Kawalan Berjadual.

Iklan

"Operasi berkenaan dilancarkan bagi membanteras ketirisan subsidi LPG khususnya aktiviti haram seperti decanting, penyeludupan dan penyalahgunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.

"Ops Gasak dilaksanakan berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

Iklan

"Peraturan yang mewajibkan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram (kg) mendapatkan Permit Barang Kawalan Berjadual telah dikuatkuasakan sejak 15 Oktober 2021 - ketika kerajaan terdahulu memerintah, dan Datuk Seri Wee Ka Siong adalah salah seorang menteri dalam Kabinet tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Armizan menganggap kemungkinan besar Ka Siong tidak menyedari perkara tersebut kerana peraturan itu diletakkan di bawah kementerian lain.

"Ka Siong mungkin juga mengeluarkan kenyataan mengelirukan kerana pasukannya gagal memberi nasihat tepat sebelum beliau membuat kenyataan terbuka kepada umum.

"Dengan penuh hormat, saya mencadangkan agar YB Ka Siong menyemak kembali Peraturan 2021 yang digubal semasa beliau sendiri masih seorang menteri,” ujarnya.

Tegas beliau, tiada sebarang perubahan dasar dilaksanakan oleh Kerajaan Madani dan KPDN setakat ini, malah pihaknya bersikap terbuka terhadap setiap maklum balas serta saranan penambahbaikan daripada pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Armizan menjelaskan bahawa Peraturan 2021 yang digunakan dalam Ops Gasak hanya mewajibkan pemilikan permit bagi mereka yang menggunakan lebih 42 kilogram tong LPG.

"Jadi tidak benar jika ada yang mengatakan semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong gas bersubsidi," katanya.

Pada masa sama, Armizan menegaskan bahawa tiada tindakan undang-undang termasuk kompaun atau sitaan dikenakan KPDN ke atas peniaga makanan dan minuman sepanjang tempoh Ops Gasak kerana tumpuan utama ketika ini adalah kepada advokasi dan penerangan.

"Kami tidak mengambil tindakan kerana kami masih menerima aduan dan saranan, termasuk cadangan penambahbaikan daripada pimpinan DAP sendiri," jelasnya.

Justeru, Armizan menerangkan sebarang cadangan penambahbaikan, termasuk kemungkinan meminda semula peraturan yang dibuat pada 2021 ketika Ka Siong menjadi menteri akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan.

Terdahulu, Ka Siong membidas langkah kerajaan mewajibkan peniaga sektor makanan dan minuman menggunakan tong gas LPG komersial, menyifatkannya sebagai membebankan golongan penjaja makanan sekali gus berisiko memberi kesan domino kepada pengguna.

Beliau turut mendakwa tindakan itu tidak wajar kerana penjaja turut layak menerima subsidi memandangkan mereka menyediakan makanan kepada masyarakat umum, selain menyifatkan pendekatan Ops Gasak menyulitkan kehidupan rakyat marhaen yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

OSZAR »