Hajat 12 PATI warga Indonesia balik kampung tidak kesampaian

Kumarasan (kiri) menunjukkan bot fiber yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Kumarasan (kiri) menunjukkan bot fiber yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke Indonesia melalui jalan tikus menggunakan bot kecil di pesisiran pantai Tanjung Kupang tidak kesampaian apabila mereka ditahan pada jam 12.30 tengah malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kumpulan warga asing terbabit menggunakan servis tekong laut dan tekong darat selain ditempatkan dalam rumah transit di Johor Jaya sebelum dibawa ke pantai.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 migran, dua tekong laut serta dua tekong darat berusia 21 hingga 39 tahun melibatkan 13 lelaki dan tiga wanita.

"Kesemua warga Indonesia itu menggunakan khidmat sindiket berkenaan untuk pulang ke Indonesia menerusi Batam dengan bayaran sebanyak RM2,000 seorang untuk perjalanan keluar, manakala mereka akan dikenakan bayaran RM3,000 seorang untuk masuk ke negara ini secara haram.

Kumarasan (kiri) menunjukkan bot fiber yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Kumarasan (kiri) menunjukkan bot fiber yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.

"PATI berkenaan turut dikenakan bayaran tambahan RM300 seorang oleh tekong darat manakala RM150 lagi dibayar kepada tekong laut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada Selasa.

Kumarasan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini menggunakan ejen warga Indonesia yang tinggal di negara ini untuk menguruskan penghantaran dari rumah transit ke lokasi laluan tikus.

Jelasnya, ejen sindiket berkenaan di Batam pula akan menguruskan kemasukan PATI Indonesia ke negara ini.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket aktif sejak November lalu dengan lima penghantaran dan kemasukan PATI secara haram diuruskan di laluan tikus berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tempoh perjalanan dengan bot laju dari pantai Tanjung Kupang ke Batam hanya mengambil masa satu jam 15 minit berbanding hampir dua jam jika menaiki feri biasa," jelasnya.

Kumarasan berkata, dua bot fiber dan dua kereta yang digunakan bagi mengangkut PATI dirampas selain 16 telefon bimbit milik kesemua warga Indonesia yang ditahan.

Kumarasan (tengah) menunjukkan kereta yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Kumarasan (tengah) menunjukkan kereta yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.

"Kesemua PATI terbabit ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan direman selama 14 hari sejak Rabu lalu.

"Empat tekong warga Indonesia yang ditahan pula disiasat mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan direman 28 hari sejak Rabu lalu.

"Siasatan juga akan dibuat menerusi Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan laluan tikus di Tanjung Kupang menjadi pilihan warga asing pulang ke kampung halaman menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!