Skandal rasuah DBKL, tiada ahli lembaga pengarah disiasat

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum melakukan sebarang siasatan ke atas ahli lembaga pengarahnya berhubung dakwaan skandal pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, setakat ini tiada ahli lembaga pengarah yang dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pihaknya hanya menjalankan siasatan dalaman membabitkan beberapa pegawai di bahagian perolehan, kewangan serta korporat.
"Siasatan tersebut bagi mendapatkan maklum balas daripada pegawai berkenaan yang menguruskan pemberian projek bermula 2023 hingga tahun lalu.
"Ia merupakan siasatan membabitkan tatakelola, proses perolehan projek serta kemungkinan terdapat kelompongan tertentu," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Program Pemerkasaan Penguatkuasaan Undang-Undang Wanita Madani 2025 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Maimunah berkata, sekiranya ada berlaku kejadian kelompongan dalam proses perolehan terbabit, pihaknya akan memperketatkan lagi proses tatakelola dalam DBKL.
Kata beliau, siasatan dalaman masih berjalan dan perkembangannya dijangka diketahui dalam minggu ini.
Tambahnya, siasatan dalaman dilaksanakan melibatkan dua jawatankuasa iaitu penyiasatan teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Eksekutif serta Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Dalam pada itu katanya, kehadiran pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke ibu pejabat DBKL adalah secara baik dan tidak berlaku sebarang serbuan.
Beliau berkata, pegawai SPRM telah mengambil dokumen sepatutnya bagi membuat semakan.
Sementara itu, pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan pihaknya sedang meneliti dokumen yang diberikan DBKL berkaitan dakwaan terbabit dengan mengkaji maklumat kepada dua isu iaitu sama ada berlaku isu jenayah di bawah Akta SPRM 2009 dan isu tadbir urus.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang juga penerbit dan pengarah filem dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Dakwaan membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL tidak diberikan melalui tender terbuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!