[VIDEO] Dua gajah liar rosakkan tanaman, rumah penduduk Orang Asli ditangkap
SUNGAI SIPUT - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menangkap dua gajah liar dipercayai menimbul konflik hingga memusnahkan tanaman dan sebuah rumah penduduk di Kampung Orang Asli Talang, Pos Perwor di sini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tangkapan gajah jantan dan betina itu dilakukan menerusi operasi yang dijalankan pasukan Unit Tangkapan Gajah (UTG) pada Rabu lalu.

"Kumpulan 23 ekor gajah daripada Hutan Simpan Piah ini dikesan mula menimbulkan konflik bermula 21 Januari lalu apabila kita menerima 10 aduan berkaitan kehadiran mamalia ini dan kemuncaknya Sabtu lalu apabila merosakkan rumah penduduk.
"Susulan aduan yang diterima, gajah liar diberi nama Yong Shida dan Yob Talang berusia 35 dan 20 tahun dengan dianggarkan seberat sekitar 2.5 tan itu berjaya ditangkap sekitar jam 11 pagi selepas tiga hari menerima aduan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, operasi translokasi gajah liar berkenaan akan dijalankan selama dua hari melibatkan bantuan anggota Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu dan Perhilitan Johor.
"Operasi pindah ini turut dibantu oleh dua ekor gajah denak iaitu Suria dan Indah bermula 9 pagi tadi dan selesai kira-kira tiga jam kemudian.
"Gajah yang berada dalam keadaan sihat itu akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat di Taman Negeri Royal Belum, Gerik," katanya.
Tambah Yusoff, pihaknya akan melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan tersebut berikutan masih lagi menerima laporan kehadiran kumpulan gajah liar tersebut.
"Penduduk juga diingatkan agar tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak mamalia berkenaan dan segera laporkan penemuan gajah kepada Perhilitan bagi tindakan selanjutnya.
"Mamalia ini menghampiri perkampungan adalah mencari makan berikutan habitat mereka makin mengecil akibat pembukaan ladang hutan.
"Bagaimanapun, pihak ladang mahupun syarikat besar ini dinasihatkan untuk mengambil langkah mitigasi dengan memasang pagar elektrik dan membina parit gajah bagi mengurangkan konflik haiwan liar dan manusia ini," katanya.

Isnin lalu media melaporkan Perhilitan Perak menyangkal dakwaan bahawa tiada tindakan diambil terhadap aduan serangan sekumpulan gajah yang dilaporkan.
Dakwaan itu tidak benar apabila operasi tangkapan dan kawalan terus dilakukan oleh Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput sebaik menerima laporan kerosakan sebuah rumah dan tanaman nanas dengan kerugian dianggarkan sekitar RM20,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!