Pindaan Akta Perhimpunan Aman: Bukti Kerajaan Perpaduan perkasa hak rakyat

Khairul Naim Rafidi
Khairul Naim Rafidi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Keputusan Kerajaan Perpaduan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) mencerminkan iltizam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman terus dihormati selaras dengan prinsip demokrasi serta keluhuran Perlembagaan.

Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata, keputusan Kerajaan Perpaduan untuk menghapuskan keperluan mendapatkan persetujuan penghuni premis seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11 Akta 736 adalah langkah tepat ke arah memperkasakan kebebasan bersuara dan hak berhimpun.

Justeru, ujarnya, penganjur hanya perlu memaklumkan kepada pihak polis lima hari sebelum perhimpunan berlangsung, menjadikan proses lebih telus dan bebas daripada halangan birokrasi yang tidak wajar.

Selain itu, beliau berkata, AMK Selangor juga memuji keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan terhadap mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan anti-rasuah serta ahli keluarga tahanan Sosma yang berhimpun baru-baru ini.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan benar-benar mendengar suara rakyat dan komited dalam mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka serta menghormati hak-hak perlembagaan.

"Pendekatan Kerajaan Perpaduan yang menekankan kebijaksanaan dalam penggubalan dasar dan keseimbangan antara kebebasan serta ketenteraman awam adalah bukti bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sistem demokrasi yang lebih matang.

"Dengan pemansuhan syarat yang tidak perlu dan jaminan bahawa himpunan aman tidak akan disekat secara sewenang-wenangnya, rakyat kini boleh bersuara dengan lebih yakin tanpa rasa takut terhadap tekanan atau intimidasi," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, AMK Selangor ingin menyeru semua pihak untuk melihat reformasi ini sebagai satu langkah besar ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, penganjur perhimpunan juga digesa untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan, menjaga disiplin serta memastikan setiap perhimpunan berlangsung secara aman dan bertanggungjawab.

"Kerajaan Perpaduan telah membuktikan bahawa ia bukan sekadar bercakap soal reformasi tetapi melaksanakannya dengan tindakan nyata.

"AMK Selangor berdiri teguh bersama kerajaan dalam memastikan hak-hak rakyat terus diperkasa, sistem demokrasi terus diperbaiki dan Malaysia terus melangkah maju sebagai sebuah negara yang benar-benar menghormati suara rakyatnya," ujarnya.

Tambahnya, reformasi ini bukan sekadar memenuhi tuntutan politik, tetapi juga membawa Malaysia lebih dekat kepada konsep Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara yang makmur di bawah naungan Tuhan Yang Maha Pengampun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!