[VIDEO] Kerajaan setuju pinda Akta Perhimpunan Aman 2012, siasatan sebelum ini dihentikan

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan tersebut bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman.

"Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan.

"Seksyen 11 Akta 736 hendaklah memperoleh persetujuan pemilik dan penghuni tempat perhimpunan yang menjadi pertikaian sekarang ini akan dikeluarkan daripada peraturan yang ditetapkan,"katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagaimanapun Anwar menambah, penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penganjuran perhimpunan dalam tempoh lima hari sebelum ia diadakan.

"Saya beri jaminan bahawa mulai sekarang tidak lagi dikehendaki apa-apa kelulusan, melainkan pemakluman atau istilah pemberitahuan lima hari kepada pihak polis.

"Tempat itu pun diberikan kelonggaran melainkan tempat-tempat yang dianggap sebagai keselamatan dan saya percaya penganjur boleh beri kerjasama dengan pihak polis,"katanya.

Jelas beliau, pindaan tersebut dijadualkan dibuat pada sesi parlimen yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Dengan ini, beberapa tindakan sebelum ini termasuk siasatan terhadap perhimpunan anti-rasuah yang melibatkan mahasiswa, akan dihentikan dan tidak akan ada tindakan yang diambil.

"Begitu juga tentang mogok lapar dan bantahan atau tunjuk perasaan (berhubung) Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) beberapa hari lepas juga, tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya.

Tegas beliau, undang-undang melibatkan senjata, dan larangan membawa kanak-kanak bagaimanapun masih terpakai.

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!