Kesemua mangsa bot terbalik dipercayai tidak memakai jaket keselamatan - Polis

PELABUHAN KLANG - Kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden membabitkan sebuah bot yang terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini pada Jumaat dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit dipandu oleh pemilik bot itu sendiri.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan dipercayai kesemua mangsa terlibat tidak memakai jaket keselamatan ketika uji pandu dijalankan.
"Dalam sebarang aktiviti di laut, aspek keselamatan sangat penting. Kecuaian boleh mengakibatkan pelbagai risiko tidak diingini berlaku.
"Saya selalu nasihatkan agar semua yang melakukan aktiviti di laut mengutamakan ciri-ciri keselamatan termasuk pemakaian jaket keselamatan dan mempunyai kemahiran berenang," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala dua individu lain iaitu pasangan suami isteri hilang setelah bot dinaiki mereka bersama beberapa individu lain terbalik di perairan Tanjung Harapan.
Polis siasat segala kemungkinan, termasuk masalah teknikal enjin bot
PELABUHAN KLANG - Bot yang terlibat dalam insiden di perairan Tanjung Harapan di sini pada Jumaat didapati terbalik ketika ujian uji pandu dijalankan pada kali kedua.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati bot berkenaan sahaja dibaiki dan digunakan untuk uji pandu.
"Pusingan pertama dilakukan dengan dinaiki tiga individu termasuk pemilik bot didapati bot terbabit tidak mengalami sebarang masalah.
"Bagaimanapun, ketika bot terbabit diuji pandu untuk kali kedua dengan tambahan tiga lagi penumpang, ia dipercayai terbalik sebelum karam," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini pada Sabtu.
Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, termasuk kemungkinan masalah teknikal pada enjin.
"Difahamkan bahawa bot terbabit juga boleh digunakan untuk tujuan membawa penumpang dan mempunyai tanda P," katanya.
Insiden yang berlaku pada Jumaat itu mengakibatkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut serta suami isteri hilang dipercayai dibawa arus.
Insiden bot terbalik:Polis rakam keterangan tiga individu, termasuk mangsa terselamat
Polis rakam keterangan tiga individu, termasuk mangsa terselamat
PELABUHAN KLANG - Tiga lelaki tempatan termasuk individu yang terselamat dalam insiden melibatkan sebuah bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini dirakam keterangan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya kini masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Keterangan juga telah diambil daripada tiga individu iaitu seorang mangsa yang terselamat, dua orang awam lain.
"Dua individu itu termasuk seorang yang membuat panggilan kecemasan ke MERS 999 dan seorang lagi yang membantu menarik bot karam berkenaan ke jeti berdekatan Pejabat Maritim Malaysia Selangor," katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat di sini pada Sabtu.
Katanya, semakan mendapati hanya enam mangsa berumur antara tiga hingga 50 tahun yang terlibat dalam insiden ini.
"Siasatan berkaitan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan.
"Tiga lagi yang maut telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala dua individu lain iaitu suami isteri hilang setelah bot dinaiki mereka bersama tiga individu lain terbalik di perairan Tanjung Harapan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!