Tiada wakil pekerja ke ILC kerana kepimpinan MTUC belum sah – KESUMA

Pemilihan semula sedang diuruskan oleh JBK.
Pemilihan semula sedang diuruskan oleh JBK.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelaskan ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland tahun ini berpunca daripada ketiadaan barisan kepimpinan sah dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, KESUMA memaklumkan bahawa pemilihan semula kepimpinan MTUC yang sepatutnya diadakan pada Mei 2025 telah ditangguhkan ke 10 Ogos 2025, susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Februari 2025 yang mengarahkan pemilihan baharu dalam tempoh 90 hari.

"Penangguhan itu menyebabkan organisasi induk kesatuan sekerja di Malaysia itu tidak mempunyai kepimpinan sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC.

"Pemilihan semula tersebut sedang diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) yang ditubuhkan khusus untuk tujuan itu," kata kementerian itu.

Bagaimanapun, KESUMA memaklumkan bahawa JBK tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan wakil ke forum antarabangsa.

"Pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC," ujarnya lagi.

KESUMA memaklumkan, pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus mengikut garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan turut mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Justeru, kementerian menyifatkan sebarang dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja sebagai tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan kekal komited kepada prinsip tripartisme dan mendukung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa," jelas kenyataan itu lagi.

KESUMA turut menyeru agar proses pemilihan semula MTUC dapat diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja serta memastikan penyertaan lengkap Malaysia ke ILC pada tahun hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!