Bas ekspres dinaiki 13 pelajar UMPSA langgar belakang treler di LPT

Keadaan bas ekspres yang membawa 28 penumpang termasuk pelajar UMPSA. Foto ihsan PDRM
Keadaan bas ekspres yang membawa 28 penumpang termasuk pelajar UMPSA. Foto ihsan PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dinaiki mereka dengan sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran, awal pagi Selasa.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, kesemua pelajar dalam perjalanan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke kampus di Gambang, sebelum bas berkenaan terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi.

“Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dan semua pelajar telah selamat tiba di kampus sekitar jam 4 pagi menaiki bas ganti yang disediakan oleh pihak pengusaha bas,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler di Maran pada awal pagi Selasa. Foto ihsan PDRM
Kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler di Maran pada awal pagi Selasa. Foto ihsan PDRM

Katanya, pelajar yang tiba di Masjid UMPSA Gambang turut disantuni dengan bantuan segera oleh pihak universiti termasuk penyediaan makanan, sokongan emosi serta penginapan sementara kepada tujuh pelajar yang menetap di kampus Pekan.

Operasi menyantuni pelajar diketuai oleh Pengerusi Institusi Kefeloan UMPSA, Nasrul Salim Pakheri bersama Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Haykal Halid.

“UMPSA turut menyediakan pek bantuan mengandungi makanan segera dan keperluan asas bagi memastikan kebajikan pelajar terus terjaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Yatimah, pihak universiti amat menekankan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta menyeru agar mahasiswa sentiasa berwaspada dalam setiap perjalanan, khususnya musim perayaan dan cuti semester.

Semua penumpang dan pemandu tidak mengalami kecederaan. Foto ihsan PDRM
Semua penumpang dan pemandu tidak mengalami kecederaan. Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, memaklumkan kejadian berlaku apabila bas yang dipandu lelaki berusia 38 tahun di lorong kiri telah melanggar bahagian belakang treler yang bergerak di laluan sama.

“Seramai 28 penumpang bas dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemandu treler berusia 40 tahun dan kelindannya berusia 25 tahun juga tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan semua penumpang bas telah dipindahkan ke kenderaan lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!