Bas rempuh belakang treler, 13 pelajar UMPSA syukur terselamat

KUANTAN – “Syukur kami semua selamat, tiada siapa cedera.”
Demikian kata seorang daripada 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat Maran, awal pagi Selasa.

Hakim Izzudin Senin, 23, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Kimia, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dia dan beberapa rakan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti sempena Aidiladha.
“Masa itu bas bergerak perlahan dan saya sedang tengok TikTok, jadi tak sedar apa yang berlaku.
“Tiba-tiba dengar jeritan penumpang di hadapan sebelum bas merempuh lori,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, suasana dalam bas bertukar kecoh dengan bunyi jeritan dan kaca pecah.

Bagaimanapun, katanya, mereka bersyukur kerana semua terselamat.
“Tiada siapa yang cedera, cuma pemandu bas mungkin luka-luka,” katanya yang memaklumkan seorang rakannya segera menghubungi pihak pengurusan universiti untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Muhammad Haykal Halid, 24, memaklumkan menerima maklumat awal mengenai kemalangan itu daripada Timbalan Yang Dipertua II MPP, Nurul Syafiqah Adnan, sekitar jam 1.30 hingga 2 pagi dan segera menghubungi pengurusan universiti bagi menyelaras bantuan.
“Saya segera menghubungi Timbalan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, dan pegawai keselamatan berhubung perkara ini.
“Pihak MPP UMPSA dan pengurusan universiti bersedia menyambut pelajar terlibat sebaik mereka tiba di kampus,” katanya.
Muhammad Haykal berkata, MPP bersama Pusat Kaunseling UMPSA turut bersiap siaga memberikan sokongan emosi kepada pelajar terlibat.
“Kita bimbang jika ada yang trauma atau terkesan, jadi kita sedia membantu supaya insiden sama seperti pelajar UPSI dapat dielakkan,” ujarnya.
Terdahulu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias, mengesahkan 13 pelajar UMPSA terlibat dalam kemalangan itu dan kesemua mereka terselamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, memaklumkan kejadian berlaku apabila bas yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun melanggar bahagian belakang treler yang bergerak di lorong sama.
Menurutnya, seramai 28 penumpang bas termasuk pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu treler berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 25 tahun juga selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!