Pegawai penguat kuasa ditahan SPRM terima sogokan RM100,000

KOTA KINABALU - Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada syarikat pengangkutan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori yang melakukan kesalahan jalan raya di salah sebuah daerah di negeri ini.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an ini ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah, di sini, kira-kira jam 8 malam Khamis.
Tindakan tersebut adalah susulan daripada tangkapan terhadap seorang pembantu penguat kuasa pada Selasa lalu.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang rasuah dari kira-kira 30 syarikat pengangkutan sejak Oktober 2023 hingga November 2024 dan menerima wang antara RM300 hingga RM3,000 secara bulanan yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.
Wang itu sebagai dorongan untuk tindakan mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 1(a) Akta SPRM 2009.
"Suspek dibebaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!