Ketua polis daerah ditahan terbabit serangan seksual, dadah

KUPANG, INDONESIA - Ketua Polis Daerah Nusa Tenggara Timur (NTT), AKBP Fajar Widyadharma Lukman Sumaatmaja ditahan oleh Bahagian Tatatertib Kepolisian Republik Indonesia atas dakwaan penyalahgunaan dadah serta terlibat dalam kes serangan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan penyebaran bahan lucah.
Kes ini terbongkar selepas pihak berkuasa Australia menemui rakaman video serangan seksual yang dimuat naik ke laman web lucah pada 20 Februari lalu.
Rakaman itu kemudian diserahkan kepada kerajaan Indonesia melalui Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Kanak-Kanak (PPPA) untuk tindakan lanjut.
Pemangku Ketua Jabatan Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Kanak-Kanak (DP3A) Kota Kupang, Imelda Manafe berkata, hasil siasatan mendapati sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak menjadi mangsa serangan seksual tersebut, masing-masing berusia tiga, 12 dan 14 tahun.
“Salah seorang mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan bagi mendapatkan bantuan psikologi, manakala dua lagi masih dalam pengawasan keluarga.
“Namun, seorang daripada mereka dilaporkan melarikan diri kerana ketakutan,” katanya kepada CNN Indonesia pada Selasa.
Menurut Imelda, mangsa berusia 12 tahun mengalami trauma yang teruk sehingga takut berinteraksi dengan orang lain dan kini menjalani sesi bimbingan atas permintaan pihak polis.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mendapatkan bukti dan maklumat lanjut mengenai kes ini. – CNN Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!